;
Selasa, 16 Ogos 2011
Berjuang Bukan Mengisi Masa Lapang
"Firman Allah di dalam Al-Quran dalam surah at-taubah yang bermaksud: 41. pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Dalam meneruskan agenda yang telah dibawa oleh junjungan mulia Nabi S.A.W, marilah kita sama-sama muhasabah agar meneliti kembali sikap dan tindakan kita dalam membantu perjungan Islam ini. Adakah kita sekadar meletakkan nama dalam senarai pejuang-pejuang Islam padahal nama itu tidak wujud di sisi Allah sedikit pun. Mungkin kerana niat yang tidak betul atau kerana bekerja diwaktu senang semata-mata.
Dalam ayat yang dinyatakan tadi berkait juga dengan sahabat-sahabat Nabi yang mengikuti perjuangan Nabi dalam meneruskan dakwah samada di mekah atau di Madinah. Apabila Nabi menyeru sahabat-sahabat supaya menuju ke Tabuk untuk menghadapi suatu peperangan, ada beberapa orang di kalangan sahabat yang tertinggal daripada mengikuti Nabi ke Tabuk.
Antara sahabat yang tertinggal adalah Kaab Bin Malik, Murarah bin Al Rabi’ Al Amri dan Hilal Bin Umayyah al Waqifi. Ketiga-tiga sahabat ini telah dipulaukan oleh Rasulullah S.A.W setelah pulang daripada Tabuk. Abu khaithamah R.A juga salah seorang yang ditinggalkan. Namun, ketiga beliau termenung di pintu khemah lalu berkata, “Tidak patut bagi aku bersenang lenang dilayan dan dihidangkan makanan oleh isteri sedangkan nabi dan sahabat yang lain berada di bawah panas terik”. Memang perjalanan ke Tabuk adalah perjalanan yang sukar kerana cuaca yang sangat panas ketika itu yang memecahkan bibir-bibir mereka dan tumit-tumit mereka.
Di sini menunjukkan kepada kita bahawa berjuang dalam menegakkan islam ini bukan aktiviti mengisi masa lapang. Ianya memerlukan pengorbanan masa, tenaga, fikiran, harta dan sebagainya kerana ganjaran bagi mereka yang benar-benar berjuang dan memperdagangkan harta dan diri mereka kepada Allah mendapat ganjaran yang sangat besar.
Allah menceritakan di dalam al-Quran dalam surah al-saff yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Dalam ayat di atas cukup untuk kita memahami kurniaan yang sangat besar dikurniakan oleh Allah bagi mereka yang memenuhi tuntutan tersebut. Kita perlu memahami di kalangan orang yang berjuang itu, ada yang menepati janji mereka untuk menolong agama Allah, namun ada di kalangan mereka yang hilang keikhlasan kerana sesuatu perkara.
Firman Allah di dalam surah al-Ahzab yang bermaksud:
"Di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada Yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun." (al-Ahzab,23)
Apabila golongan daripada madinah datang bertemu Nabi menyatakan keislaman mereka bahkan termasuk di dalamya muslimat yang bersama dengan perjuangan ini telah berbaiah kepada Rasulullah S.A.W. Menurut riwayat Imam Ahmad:
Dari Jabir R.A “kami bertanya : wahai Rasulullah di atas dasar apakah kami berbaiah?” Sabda Rasulullah S.A.W : “Di atas dasar mesti dengar dan taat samda dimasa cergas atau malas, bersedia untuk berbelanja dimasa susah atau senang, di atas dasar menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Di atas dasar bangun menegakkan agama Allah dan tidak menghiraukan celaan orang yang mencela dan membari pertolongan kepada aku apabila aku tiba kepada mu, kamu mempertahanakan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu dan anak-anak kamu dan jika kamu melakukan itu, nescaya diberikan untuk kamu syurga.
Oleh yang demikian, pejuang-pejuang Islam perlu kepada muhasabah diri masing-masing agar meneliti kembali amal-amal yang telah dilakukan termasuk yang kita sedang laksanakan benar-benar ikhlas kepada Allah dan yang lebih penting bukan hanya kita malakukanya sewaktu senang. Dalam melaksanakan kerja-kerja islam dan sebagai 'amilin' perlu mengorbankan banyak perkara demi perjuangan ini di mana hanya kita yang mengetahui perngorbanan itu. Orang lain tidak boleh mengukur pengorbanan yang kita lakukan dan kita pula perlu mengukur pengorbanan itu dengan perjuangan sahabat-sahabat nabi.
Bagi mereka yang terlibat dengan perjuangan ini dalam usia yang masih muda perlulah bersyukur kerana Allah memilih mereka terlebih awal. Mereka terpaksa mengorbankan masa muda mereka dengan perjuangan ini di saat orang lain bersuka ria dan menikmati masa muda mereka dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Mereka yang masih muda pula bergelomang dengan kesusahan dan ujian dalam usia yang tidak matang dan di zaman Nabi juga wujud individu yang seperti ini. Mus’ab Bin umair yang terpaksa meninggalkan kesenangan dunia dan keluarga hanya kerana mengikut Nabi Muhammad S.A.W.
Bagi mereka yang dipilih oleh Allah untuk menyertai perjuangan ini dalam usia yang agak lewat perlu sedar bahawa mereka sangat hampir dengan Syurga Allah. Oleh itu, jangan sekali-kali berlengah-lengah dalam melaksanakan tangungjawab dalam jamaah kerana menanguh-nangguh dalam melaksanakan tugas itu adalah FUTUR(golongan tercicir) yang paling ringan. Oleh kerana perjuangan bagi memenangkan perjuangan islam ini luas dan tidak semestinya dengan peperangan, maka setiap saat perlu kita melakukan sesuatu untuk perjuangan ini tanpa meninggalkan perkara-perkara wajib lain yang perlu kita tunaikan.
Bukan bermakna kita perlu meninggalkan segala-galanya untuk perjuangan ini tetapi memikirkan kembali amal-amal yang dilakukan sudah layak untuk mendapat kurniaan yang telah dijanjikan oleh Allah. Allah tidak bertanya akan kemenangan tetapi usaha yang kita lakukan. Namun, orang yang berjuang akan diuji sehebat-hebatnya bagi menapis mereka yang benar-benar menunaikan janjinya kepada Allah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan