;

Rabu, 20 Mac 2013

Jauhilah politik aibkan maruah

KECENDERUNGAN mengaibkan pihak lawan dengan pelbagai cerita berupa tohmah yang belum tentu akan kesahihannya bagaikan sudah lumrah dan sebati dalam kerangka politik kepartian masa kini. Setiap pencacai parti-parti politik kini tidak kira pemerintah mahupun pembangkang bagaikan berlumba-lumba mendedahkan aib pihak lawan. Menariknya dalam keghairahan mendedahkan aib lawan, sering kali juga mereka suka menuding jari menuduh pihak lain yang melakukan penyimpangan tersebut. Ia samalah seperti pencuri menuduh dan cuba meyakinkan orang ramai bahawa orang lain yang mencuri. Memanglah tidak ada pencuri mengaku dia mencuri. Tapi sikap menuding jari pada orang lain demi mengaburi mata orang ramai akan hakikat kebobrokan dirinya pastilah tidak akan membawa apa-apa makna. Namun apa boleh buat kerana demikianlah realiti budaya politik masa kini yang bagaikan sudah semakin lompong akhlak dan akal-budi Islami sehinggakan yang mengakar adalah budaya songsang yang langsung tidak berpaksikan agama dan hukum moral manusiawi. Bagi penulis budaya politik sebegini tentunya tidak cocok bahkan merupakan tragedi kepada politik Islam yang seharusnya berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang sejati. Jika ditelusuri prinsip Islam, membuka aib sesama Islam adalah suatu yang amat keras dilarang ALLAH sebagaimana ayat 12 daripada Surah Al-Hujurat: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian besar prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan aib orang lain; dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain.” Menjaga aib sesama Islam begitu dititikberatkan oleh junjungan Rasulullah SAW sehinggakan pernah diriwayatkan satu kisah selepas selesai solat Asar di Masjid Quba’, seorang sahabat lalu mengundang Nabi SAW berserta jemaah menikmati hidangan daging unta di rumahnya. Ketika sedang makan, terhidu para sahabat suatu bau yang kurang menyenangkan. Wajah Nabi SAW sedikit berubah tanda tidak selesa. Maka tatkala waktu Maghrib hampir masuk, sebelum majlis bersurai, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa makan daging unta, hendaklah dia berwuduk!”. Mendengar sabda Baginda ini, maka seluruh jemaah tadi mengambil wuduk. Maka terhindarlah aib orang yang terbuang angin di khalayak tadi. Begitulah tingginya peribadi Nabi SAW yang begitu mengerti kesan psikologi seseorang yang mungkin menerima aib daripada perbuatannya. Bahkan kesan psikologi dimalukan mampu mencetuskan kekeruhan bahkan merungkai hubungan persaudaraan sesama Islam yang menjadi teras kekuatan umat. Sebab itulah Islam cukup menitikberatkan aspek menjaga aib sesama saudara seIslam sehinggakan jika seseorang melakukan maksiat kepada ALLAH secara sembunyi selagi tidak merugikan orang lain seperti perbuatan dirinya meminum arak, berzina dan lain-lain, maka dikehendaki ditutupi aib tersebut, bahkan tidak boleh dihebahkan kepada orang lain. Sekalipun diketahui maksiat sebegini dilakukan oleh saudaranya, maka kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar, iaitu menyeru yang benar dan mencegah kemungkaran tetap wajib dilaksanakan namun jangan disebarluaskan. Malangnya, budaya politik kepartian masa kini amat jauh daripada garis panduan yang ditetapkan syarak. Pendukung-pendukung parti tidak kira pemerintah mahupun pembangkang, yang berlabel Islam ataupun tidak, sering kali melakukan penyimpangan sebegini demi fatamorgana kuasa yang begitu mengasyikkan. Masing-masing tampak begitu rakus menyelak kain dan mendedahkan aib antara satu sama lain yang hakikatnya belum tentu berpaksikan pada kebenaran mahupun kepalsuan. Lebih menyedihkan lagi ada yang sanggup menghalalkan tindakan bobrok sebegini dengan menggunakan pelbagai justifikasi agama dengan hujahan beralaskan ayat-ayat al-Quran terpilih ikut selera politik masing-masing. Semuanya sanggup dilakukan demi untuk menang pilihan raya dan berkuasa di Putrajaya. Tanpa disedari, hari ini ‘Putrajaya’ bagaikan zikir wajib yang sering diratibkan dalam minda para pendukung hingga segala prinsip agama dan akhlak sanggup dipertaruh dan digadaikan. Justeru, penulis menyeru marilah kita kembali kepada ajaran Islam sebenar yang seharusnya menjadi teras dalam budaya pempolitikan umat Islam. Ini menuntut setiap kita agar ikhlas dan jujur membanteras budaya politik mengaibkan maruah yang hakikatnya membawa kebinasaan. Oleh: Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin