;

Jumaat, 15 Mei 2009

SENANGKANLAH HATIMU.....

Kalau engkau KAYA
Senangkanlah hati mu !
Kerana di hadapan mu terbentang kesempatan untuk mengerjakan segala yang sulit-sulit. Segala Perbuatan mu dihargai orang, engkau beroleh pujian di mana-mana. Engkau menjadi mulia, tegak mu teguh. Di hadapan engkau terhampar permaidani kepujian, sebab itu engkau beroleh kebebasan dan kemerdekaan.

Jika engkau FAKIR MISKIN
Senangkan pulalah hati mu !
Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa,penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Senangkanlah hati mu Kerana tak ada orang yang akan hasad dan dengki kpd engkau lagi,lantaran kemiskinan mu. Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat, yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati,dan tidak ada pintu bagi kebencian.

Kalau engkau DERMAWAN
Senangkanlah hati mu !
Kerana dengan kedermawanan engkau dapat mengisi tangan yang kosong, telah dapat menutup tubuh yang bertelanjang, engkau tegakkan orang yang telah hampir roboh.
Dengan sebab itu engkau telah menuruti perintah hati mu dan engkau beroleh bahagia
Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan akan menghantarkan pujian kepada Tuhan lantaran pertolongan mu. Kesenangan hati mu yang tadinya Cuma satu, sekarang akan berlipat ganda, sebab telah banyak orang lain yang telah mengecap nikmatnya.

Kalau sekiranya engkau TAK KUASA JADI DERMAWAN
Itu pun senangkanlah hati mu !
Sebab engkau tidak akan bertemu dengan suatu penyakit yang selalu menular kpd masyarakat manusia, iaitu tiada membalas guna,penghilang jasa. Mereka ambil kebaikan budi dan kedermawanan mu itu jadi senjata untuk menjatuhkan tuduhan-tuduhan yang rendah. Saat yang demikian mesti datang kpd setiap dermawan, yang menyebabkan hati kerap kali patah dan badan kerap kali lemah, sehingga hilang kepercayaan kpd segenap manusia, disangka manusia tidak pembalas guna. Padahal langkah belum sampai lagi kepada puncak kebahagiaan dan beroleh ampunan dari Tuhan

Kalau engkau masih MUDA REMAJA,
Senangkanlah hati mu !
Kerana pohon pengharapan mu masih subur,dahan-dahannya masih rendang dan rimbun. Tujuan kenang-kenangan masih jauh. Sebab umur mu masih muda, mudahlah bagi mu menjadikan mimpi menjadi kenyataan yang sebenarnya.

Kalau engkau telah TUA,
Senangkan pulalah hati mu !
Kerana engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit,dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang berguna di dalam sekolah hidup.
Engkau telah tahu firasat,mengerti gerak geri manusia dan tahu ke mana tujuan jalan yang ditempuhnya. Oleh sebab itu, segala pekerjaan yang engkau kerjakan itu kalau engkau suka lebih banyak akan membawa faedah dan lebih banyak tersingkir drpd bahaya.
Satu detik drpd umur mu di masa tua, lebih mahal harganya drpd bertahun-tahun di zaman muda, sebab semuanya telah engkau lalui dengan pandangan yang terang dan pengalaman yang pahit.

Kalau engkau dari TURUNAN YANG MULIA-MULIA,
Tenangkanlah hati mu !
Kerana diri mu tergambar dan terpeta di dlm hati tiap2 sahabat itu.
Kalau engkau memang di dlm kalangan sahabat yang banyak itu, lazat rasanya kemenangan,dan kalau kalah tidak begitu terasa. Lantaran banyaknya orang yang menghargai dan memperhatikan engkau, engkau dapatlah insaf, tandanya harga diri mu mahal dan timbangan mu berat. Yang penting ialah engkau dapat keluar dari penyakit mementingkan diri seorang, memandangkan hanya engkau yang benar,lalu masuk ke dalam daerah yang baru, iaitu mengakui bahawa ada lagi orang lain yang pintar, yang berfikir dan kuasa menimbang.

Jika MUSUHMU BANYAK,
Senangkanlah pula hati mu !
Kerana musuh-musuh itu ialah anak tangga untuk mencapai kedudukan yang tinggi.
Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya pekerjaan yang engkau kerjakan.
Tiap-tiap bertambah maki celanya kepada engkau,atau hasad dengkinya, atau mulutnya yang kotor dan perangainya yang keji, bertambahlah teguhnya pendirian mu bahawa engkau bukan barang murah, tetapi barang mahal, dari celaannya yang benar-benar mengenai kesalahan mu, engkau dapat beroleh pelajaran.
Mula-mula maksudnya hendak meracuni mu dengan serangan-serangannya yang kejam dan keji, maka oleh engkau sendiri, engkau saring racun itu dan engkau ambil untuk pengubat diri mu mana yang berfaedah, engkau buangkan mana yang salah.

Ingatlah: Pernahkah seekor burung helang yang terbang membumbung tinggi mempedulikan halangan burung layang-layang yang menghalanginya?

Kalau BADANMU SIHAT,

Senangkanlah hati mu !
Tandanya telah ternyata pada diri mu kekayaan Tuhan dan kemuliaan nikmat-Nya, lantaran badan yang sihat, mudahlah engkau mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan.

Kalau engkau SAKIT,

Senangkan pulalah hati mu !
Kerana sudah ternyata bahawa diri mu adalah medan tempat perjuangan di antara dua alam yang dijadikan Tuhan, iaitu kesihatan dan kesakitan.
Kemenangan akan terjadi kepada salah satu yang kuat, kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu, baik kesembuhan dunia, atau pun kesembuhan yang sejati.

Kalau engkau menjadi ORANG LUAR BIASA,

Senangkanlah hati mu !
Kerana pada tubuh mu terdapat cahaya yang terang benderang tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang sehingga menimbulkan kesuburan dalam fikiran mu,dilihat-Nya otak mu sehingga cerdas, dilihat-Nya mata mu sehingga jadi azimat, dilihat-Nya suara mu sehingga jadi sihir.

Bagi orang lain, perkataan dan tiap2 suku kalimat yang keluar dari mulutnya hanya menjadi tanda bahawa dia hidup sahaja. Tetapi bagi diri mu sendiri menjadi cahaya yang berapi dan bersemangat, boleh meninggikan, boleh memuliakan dan boleh menghinakan, sehingga bolehlah engkau berkuasa berkata kepada alam: “Adalah”,sehingga dia pun “Ada”.

Kalau engkau DILUPAKAN ORANG,KURANG DIKENAL,

Senangkanlah hati mu !
Kerana lidah tidak banyak yang mencela mu, mulut tidak banyak mencacat mu, tak ada orang lain yang dengki kepada mu, tak ada orang yang berniat jatuhkan mu, mata tak banyak memandang mu.
Itu di hadapan mu ada puncak bukit kemuliaan orang yang masyhur itu berdiri di atas masyarakat, dan engkau pun salah seorang dari anggota masyarakat itu.
Rumah batu yang indah, berdiri di atas kumpulan tanah dan pasir yang kecil2.
Dengan demikian itu engkau akan merasai kesenangan hati yang kerap kali tak didapati oleh yang bibirnya tak pernah merasai air hidup dan rohnya tak pernah mandi di dlm ombak ilham.

Kalau SAHABATMU SETIA KEPADAMU,

Tenangkanlah hati mu !
Kerana pertukaran siang dan malam telah menganugerahi engkau kekayaan yang paling kekal.

Kalau KAWANMU KHIANAT,
Senangkan juga hati mu !
Sebab kalau kawan-kawan yang khianat itu mungkir dan meninggalkan engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat engkau.

Kalau TANAH AIRMU DIJAJAH atau DIRIMU DIPERHAMBA,
Senangkanlah hati mu !
Sebab penjajahan dan perhambaan membuka jalan bagi bangsa yang terjajah atau diri yang diperhamba kpd perjuangan melepaskan diri dari belenggu.
Itulah perjuangan yang menentukan hidup atau mati, dan itulah yang meninggalkan nilai. Ketahuilah bahawa tidaklah didapati suatu bangsa yang terus menerus dijajah**.

Jika engkau dari BANGSA MERDEKA,
Senangkanlah hati mu !
Sebab engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan bangsa2 yang lain, ada bagi mu kesempatan mencari kekuatan baru. Kemerdekaan itu mesti diisi dengan bahan2 yang baik, dan bagi mu terbuka kesempatan yang seluas-luasnya untuk itu.

Kalau engkau HIDUP DALAM KALANGAN ORG YANG KENAL KAN DIRI DAN CITA² ENGKAU,
Senangkanlah hati mu !
Kerana di sana engkau dapat mengusahakan tenaga muda setiap hari, dan kekuatan pun bertambah, roh serta semangat menjadi baru. Engkau bertambah subur dan tegak menaungi lautan dan daratan.

Kalau engkau HIDUP DI KALANGAN MASYARAKAT YANG MASIH RENDAH,

yang tidak mengerti bagaimana menghargai cita-cita orang, sehingga engkau merasa ‘sial-dangkal’, maka senangkan juga hati mu !
Kerana dengan sebab itu engkau beroleh kesempatan jadi burung, lebih tinggi terbang mu daripada orang-orang yang patah sayap itu. Engkau boleh melayang ke suatu langit khayal, untuk mengubati fikiran mu yang gelisah, untuk melepaskan dahaga jiwa mu.

Kalau engkau DICINTAI ORG DAN MENCINTAI,
Senangkanlah hati mu !

Tandanya hidup mu telah berharga, tandanya engkau telah masuk daftar orang yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas kasihan-Nya kepada mu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dua jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkongkong dibawa satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ke telinga mu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam. Keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersungguh-sungguh.

Jika engkau MENCINTA TETAPI CINTAMU TAK BERBALAS,
Senangkan jugalah hati mu !

Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan & ingin kembali kpd orang yang diusirnya itu setelah dia jauh dari matanya, dia akan cinta, cinta yang lebih tinggi darjatnya drpd cinta lantaran hawa.
Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Sehingga lantaran itu hati kan bersih, laksana bejana kaca yang penuh berisi air khuluk,air kekal yang dianugerahkan Tuhan.
Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tidak ada pada insan. Bersedialah menerima menyuburkan cinta, walaupun bagaimana besarnya tanggungan mu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah, tetapi membawa tenteram.
Cinta mesti lalu di hadapan mu, sayang engkau tak tahu bila lalunya.
Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar.
Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar tertempa oleh manusia biasa.
Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan kita sendiri. Merasa tenteramlah selalu, senangkanlah hati mu atas semua keadaan mu, kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu amat banyak tak terbilang kesulitan perjalanan hidup kian minit, kian baru.

Merasa senanglah selalu!
Merasa tenteramlah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin