;

Khamis, 14 Januari 2010

Cerita Pasal 'Apple Computer'


Komputer yang anda lihat di atas ialah Machintosh SE. Ia merupakan antara komputer terawal keluaran Apple Computer. Semasa ia baru diperkenalkan di Malaysia di sekitar tahun 1984 dahulu harganya ialah RM11,000.00. Cakera kerasnya kalau tidak silap ialah 40Mb, yang pasti tidak sampai 1Gb. Kalau anda membuat kerja yang agak rumit dan anda ingin 'save' kerja-kerja anda maka anda boleh keluar makan dahulu dan datang kembali, sedang elok baru kerja anda siap di 'save'kan. Namun begitu itulah antara komputer paling laju ketika itu.

Pada waktu tersebut PC belum lagi muncul. Hanya setelah Apple keluar barulah PC keluar dengan konsep 'windows'nya. Dan Apple mula menyaman Microsoft kerana dikatakan menciplak paparan muka Apple dengan pengubahsuaian. Namun keputusan akhirnya berpihak kepada Microsoft. Dan selepas itu Apple Computer terus dengan dunianya dan PC juga dengan dunianya. Masing-masing terus menerus membuat inovasi terbaru dalam menarik pelanggan mereka.

Dan kalau kita mengikuti sejarah Apple, syarikat berkenaan pernah satu ketika mengalami pelbagai peristiwa duka hinggakan pernah pereka dan pemiliknya, Steve Jobs ditendang keluar dari syarikat yang dibinanya sendiri. Namun sebagai seorang yang kreatif dan tidak mengenal putus asa beliau menubuhkan PIXAR Animation Studios sebuah syarikat animasi yang mengeluarkan cerita seperti 'Toy Stories, The Incredibles, Monsters Inc., A Bug Life, Finding Nemo, Cars dan terbaru Ratatlouille'.

Apple akhirnya memutuskan untuk mengambil kembali Steve Jobs bagi mengetuai syarikat berkenaan. Tidak lama lepas tu lahirlah iMac, komputer yang mempunyai warna bagaikan gula-gula candy. Apple tidak lagi menoleh ke belakang dan terus mencipta inovasi yang mengagumkan seperti iPOd dan terkini iPhone.

Dengan menggunakan motto 'Think Different', Apple Computer merupakan syarikat yang paling inovatif di dunia pada masa sekarang. Anda boleh merujuknya di laman web (http://www.businessweek.com/magazine/content/06_17/b3981413.htm).

Moral dalam cerita Apple Computer ini ialah sikap tidak berputus asa, diikuti oleh kreativiti dan sentiasa melakukan inovasi, insyaAllah akan membuahkan kejayaan. Seperti hadis Nabi yang pernah dinyatakan sebelum ini 'Jadikan hari ini lebih baik dari semalam - dan itulah orang-orang yang beruntung'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin