;
Isnin, 8 Februari 2010
PERSOALAN GHAIB
Dalam Aqidah Islam –sekaligus Aqidah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah- antara persoalan asas ialah percaya kepada kewujudan yang ghaib. Di awal surah al-Baqarah, Allah menyebutkan antara ciri orang bertakwa ialah “Orang-orang yang beriman dengan yang ghaib” (ayat 3). Namun perkara ghaib yang disuruh supaya kita percaya dan kita imani bukanlah yang berdasarkan khayalan kita atau mana-mana orang, akan tetapi berdasarkan wahyu Allah (al-Quran dan as-Sunnah). Hakikat perkara ghaib ialah perkara yang wujud dan ada tetapi tidak dapat disingkap oleh pancaindera zahir manusia.
Perkara ghaib bukanlah perkara yang tidak ada. Ia ada, cuma kita yang tidak dapat menanggapinya dengan mata, telinga atau deria-deria kita yang lain. Walaupun tidak nampak dan tidak didengari, namun tidak dapat kita nafikannya kerana yang mengkhabarkan keberadaannya ialah Allah, Tuhan yang menjadikan kita dan sekelian makhluk. Oleh itu, percaya kepada yang ghaib –dalam pengertian; percaya kepada perkara-perkara tidak nampak yang diberitakan kewujudannya oleh Allah dan
RasulNya dalam al-Quran atau as-Sunnah- adalah bukti keyakinan kita kepada Allah dan Rasul. Dalam pengertian lain, antara kandungan iman kita kepada Allah dan Rasul ialah percaya kepada segala yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasulnya termasuklah dalam perkara-perkara ghaibiyyat yang merangkumi;
1. Kewujudan makhluk-makhluk ghaib iaitu malaikat, jin, iblis, syaitan dan ruh.
2. Kewujudan alam-alam ghaib iaitu alam barzakh dan alam akhirat
3. Peristiwa-peristiwa di akhirat; syurga, neraka, mahsyar, titian/sirat, al-haudh dan sebagainya.
4. Sifat-sifat Allah dan perbuatan-perbuatanNya.
Oleh kerana perkara ghaib bukanlah perkara khayalan tetapi perkhabaran dari Allah dan Rasul, maka tidak harus sesiapa pun mereka-reka atau mengada-ngada cerita yang ghaib tanpa nas dari Allah dan Rasul (al-Quran dan as-Sunnah). Seorang yang mendakwa atau menceritakan tentang suatu yang ghaib sedangkan perkara itu tidak ada disebut di dalam al-Quran atau al-Hadis, ia sebenarnya telah berbohong. Sebagai contoh;
1. Mendakwa kayu kokka mempunyai khasiat tertentu seperti dapat menghalau jin, menjadi pendinding atau sebagainya termasuk mendakwa ia adalah kayu bagi tongkat Nabi Musa, bahtera Nabi Nuh dan sebagainya tidak harus dakwaan itu melainkan dengan adanya nas sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah. Jika tanpa nas, pendakwanya adalah berdusta kerana perkara ghaib bukanlah rasa-rasa atau agak-agakan, tetapi mesti dengan nas dan dalil Syarak.
2. Tidak harus mendakwa suatu bacaan atau suatu bahan menjadi pelindung melainkan mesti dengan nas Syarak. Kerana itu, Rasulullah s.a.w. melarang tangkal sebagaimana sabda beliau; “Sesiapa menggantungkan tangkal, sesungguhnya ia telah syirik” (Riwayat Imam Ahmad dan ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.). “Sesiapa menggantungkan tangkal (dengan harapan Allah akan menyempurnakan hajatnya), Allah tidak akan menyempurnakan hajatnya” (Riwayat Imam Ahmad dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.) Perhatikan, hadis yang kedua menggambarkan kepada kita bahawa pemakai tangkal sebenarnya waham; mereka merasakan tangkal memberi manfaat, namun sebenarnya itu hanya khayalan mereka sahaja kerana Allah tidak akan menunaikan hasrat mereka.
Seorang muslim tidak perlukan tangkal, azimat, jampi, mentera atau sebagainya. Bagi mereka, cukup dengan perlindungan Allah yang akan mereka perolehi dengan beribadah, bertaqarrub dan mentaati Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan; “Peliharalah (hubungan kamu dengan) Allah, nescaya Allah akan pelihara kamu” (Riwayat at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Jika ingin berdoa memohon perlindungan Allah, mereka hanya akan membaca ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan zikir-zikir perlindungan yang maksur dari Rasulullah s.a.w..
3. Tukang tilik, tukang ramal dan tukang tenung adalah pekerjaan haram dan haram juga mendatangi mereka. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa mendatangani tukang tilik dan bertanyakan sesuatu kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Riwayat Imam Muslim). Sabda baginda juga; “Sesiapa mendatangi tukang tilik atau pawang, lalu ia membenarkan/mempercayai apa yang dikatanya, sesungguhnya ia telah kufur terhadap wahyu yang turun kepada Muhammad” (Riwayat Imam at-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat).
4. Di antara yang diharamkan oleh Islam ialah melakukan tilikan atau ramalan melalui bintang. Malah mempercayai sempena bintang sudah dilarang oleh Nabi s.a.w. dan baginda menganggapnya sebagai kufur kepada Allah. Terdapat hadis dari Zaid bin Khalid al-Juhani r.a. yang menceritakan; Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat subuh mengimami kami di Hudaibiyah pada ketika selepas hujan di malam hari. Selesai solat, baginda mengadap ke arah kami lalu bertanya; Tahukah kamu apa yang Tuhan kamu telah katakan? Mereka menjawab; Allah dan RasulNya lah yang paling tahu. Baginda berkata; Tuhanmu telah berkata; “Di kalangan hambaku ada yang berpagi dengan beriman kepadaku dan ia kufur (kepada bintang). Adapun sesiapa yang berkata; kita dituruni hujan adalah kerana kurniaan Allah dan rahmatNya, maka orang itu adalah beriman denganKu dan kufur dengan bintang (yakni ia tidak mempercayai sempena-sempena atau ramalan-ramalan bintang). Adapun orang yang berkata; kita dituruni hujan kerana muncul atau hilang/tenggelam bintang sekian sekian, maka ia telah mengkufuriku dan ia beriman dengan bintang”. (Hadis ini terdapat di dalam Soheh Imam al-Bukhari dan juga Soheh Imam Muslim).
5. Tidak harus menyebut nama-nama malaikat melainkan dengan nama yang terdapat di dalam al-Quran atau as-Sunnah. Kita biasa mendengar pengamal-pengamal perubatan traditional Melayu menyebutkan nama-nama yang pelik dalam jampi-jampi mereka. Bila ditanya, mereka menjawab; “Itu adalah nama-nama malaikat”. Maka perlu dijelaskan; orang yang mendakwa nama-nama malaikat, walhal nama-nama itu tidak ada di dalam al-Quran atau as-Sunnah, ia sebenarnya terbohong. Mungkin nama-nama itu adalah jin-jin yang dipujanya. Jika benar sekalipun nama itu adalah nama malaikat, perbuatan itu tetap berdosa kerana kita hanya disuruh berdoa kepada Allah dan dilarang kita menyengutukan Allah dengan sesiapa sahaja termasuk malaikatnya.
6. Melukis wajah jin atau melakonkan watak jin termasuk cerita-cerita hantu yang berleluasa dalam TV hari ini merupakan satu pendustaan dan pembohongan. Ia bertentangan dengan agama kerana akan menyuburkan kepercayaan khurafat dan karut marut di dalam masyarakat. Walaupun sekadar hiburan, tidak harus –di sisi agama- kita berhibur dengan perkara yang memudaratkan apatahlagi memudaratkan aqidah dan kepercayaan.
7. Batu-batu; mendakwa sesuatu batu itu mempunyai kelebihan; jika kelebihan yang didakwa itu dari sudut sains atau perubatan, terserahlah kepada ahli-ahli sains dan dan ahli-ahli perubatan untuk mengesahkannya sama ada benar atau tidak dakwaan itu. Namun jika kelebihan yang didakwa itu bersangkutan dengan perkara ghaib (seperti boleh menjadi pendinding, menyembuhkan penyakit secara ghaib, boleh menghalau jin, hantu dan sebagainya), maka orang yang mendakwanya mesti membawa nas Syarak. Jika tidak, ia adalah berdusta dan menggunakan agama untuk kepentingan diri.
Saidina ‘Umar r.a. tatkala mengucup Hajarul Aswad (batu hitam di penjuru di Kaabah), beliau berkata; “Aku mengetahui bahawa engkau hanyalah batu yang tidak berkuasa memberi mudarat dan juga memberi manfaat. Kalau tidak kerana melihat Rasullulah saw mengucupmu, nescaya aku tidak akan mengucupmu” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Seharusnya seorang muslim sentiasa berhati-hati dalam masalah aqidah termasuk kepercayaan dan keyakinan kepada perkara ghaib. Aqidah yang benar ialah yang datang dari al-Quran dan as-Sunnah. Jangan benarkan sewenang-wenangnya sebarang maklumat tentang aqidah masuk ke dalam akal dan pemikiran saudara. Jangan terima maklumat tentang aqidah yang tidak menepati al-Quran dan as-Sunnah. Saudara perlu bertegas dengan diri saudara dalam perkara ini. Malah dalam semua ilmu, kita perlu ada ketegasan dalam memerhati sumbernya. Imam Ibnu Sirin (seorang ulamak tabi’in terkenal) pernah menasihatkan; “Ilmu adalah agama. Maka hendaklah kamu perhati dari siapa kamu mengambil agama kamu” (Soheh Muslim).
Wallahu a’lam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan