;

Isnin, 21 Jun 2010

MAAFKAN AKU WAHAI SUAMI…


Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.

Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!

Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh.

Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!

Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.

Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.

Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?

Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.

Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.

Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.

Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.

Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”

Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.

Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.

Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.

Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.

Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.

Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!

MAAFKANKU WAHAI SUAMI

Kadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!

Sabtu, 5 Jun 2010

Wanita2 jangan cemburu dengan Bidadari di Syurga


"Ustaz, boleh tak kalau di syurga nanti, saya tak nak suami saya ada
bidadari?"

Soalan ini pernah dikemukakan oleh seorang wanita (entah datin mana tah),
sewaktu sesi soal jawab dalam satu kuliah (kalau aku tak silap, oleh Ustaz
Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz), pada sekitar awal 90-an.

Jawapannya nanti dulu. Aku nak bincang hal yang lebih penting. Haha..

Datin tersebut wajar diberi ucapan syabas kerana berani menyuarakan apa yang
terbuku di kalbu ramai wanita. Tapi pasti kebanyakannya tak tergamak nak
luahkan perasaan tu.

Mmm..nampaknya sampai begitu sekali kaum wanita ni meluat dengan bidadari
syurga. Aku guna perkataan 'meluat' sebab aku rasa inilah istilah yang
paling sopan. Mungkin ada yang sampai rasa benci bila mendengar perkataan
'bidadari', aku tak nafikan.

Apa puncanya sampai jadi macam tu?

Penjelasan yang paling mudah, sebab cemburu.

Penjelasan yang lebih mendalam; sebab wanita sebegitu menyangka bahawa
suaminya adalah MILIK mutlak si isteri. Sebagaimana miliknya terhadap kereta
Mercedesnya dan rumah banglonya. Tak mahu KONGSI dengan orang lain.

Aku pernah menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan satu jemaah tabligh..ustaz
yang sedang memberi amanat kepada bakal-bakal da`ie itu ada menyebut,
"Jangan sekali-kali ceritakan mengenai bidadari apabila anda sedang
membicarakan tentang nikmat syurga di khalayak yang ada wanita
menghadirinya. Dikhuatiri jika anda tidak bersedia dengan ilmu yang cukup,
majlis ilmu itu akan hanya menimbulkan rasa benci di kalangan wanita yang
masih lemah imannya.."

Fuhh~! Sampai begitu sekali rupanya. Dahsyat..

Aku tak sangka sampai begitu sekali, hingga 'pantang' disebut tentang
bidadari di depan wanita.

Tapi..Dalam Al-Qur'an kan bidadari disebut tanpa berselindung?
Ohoho...mungkin tak apa la sebab kebanyakan wanita di luar sana tak faham
pun bila mendengar atau membaca Qur'an.

Habis, nak biarkan macam tu je? Biarkan je wanita 'bermusuh' dengan
bidadari? Tak ada cara nak 'mendamaikan' dua golongan ni ke?

Biar aku beritahu apakah jawapan ustaz yang awal tadi.

"Di syurga nanti, selagi puan tak berenggang dengan suami puan, suami puan
seakan-akan tak nampak pun bidadari. Tak perlu lah puan risau sangat. Yang
penting sekarang, usahakan agar puan bersama suami dapat menjadi ahli
syurga. Kalau isteri terpaksa masuk neraka buat sementara, dan suami yang
masuk syurga dulu, saya tak jamin la bidadari tak ganggu dia.." Padat dan
bersahaja jawapan yang diberikan ustaz, disambut gelak ketawa hadirin. Si
datin tunduk sambil tersenyum kelat.

Hmm..kenapa suami tak nampak bidadari bila isterinya ada? Sebab wanita ahli
syurga kelak akan dijadikan oleh Allah sebagai*ketua bidadari*. Hebatnya
kecantikan ketua bidadari ni, adalah ibarat cahaya bulan mengambang penuh di
musim panas. Para bidadari yang lain pula ibarat bintang-bintang yang
bertaburan di sekelilingnya. Hanya menyerlah tika bulan menyepi.

Maka apabila Ketua Bidadari itu hadir, si suami seolah-olah terpukau, dan
bidadari yang lain seakan tak kelihatan, ataupun nampak kecil saja. Macam
gadis jelita dikelilingi budak-budak tadika. Tentu saja fokus si suami
takkan beralih dari melihat isterinya.

Hebat kan ? Tapi macam mana kalau tiada bidadari langsung? Kan lagi bagus
kalau tiada saingan?

Tidak juga.

Andai tiada bidadari, maka cantiknya Ketua Bidadari umpama bulan penuh di
langit yang kosong. Kejelitaannya jadi kurang menyerlah kerana dia cantik
sorang-sorang, tak ada siapa yang kurang dari dia, jadi pada siapa dia nak
dibandingkan? Pada jiran di mahligai bersebelahan yang jaraknya sejauh mata
memandang?

Wahai wanita penghuni syurga; anda sama cantik saja dengan Ketua Bidadari
yang lain. Tak berapa seronoklah. Anda hanya paling cantik di mata suami
anda. Begitu juga Ketua Bidadari yang menjadi jiran anda, tercantik di mata
suaminya.

Satu perkara lagi, para bidadari syurga adalah penghuni asal yang telah
Allah tempatkan di situ. Mereka penduduk asal syurga. Tak bolehlah nak halau
mereka pula. Nanti mereka mengadu pada Allah. Mereka tidak pernah berbuat
dosa, taraf mereka seakan malaikat yang sentiasa makbul doanya. Cuma mereka
ini Allah kurniakan nafsu sebagaimana manusia. Tetapi nafsu mereka bersih
(tidak takabbur terhadap Allah) dan tidak terhijab.

Dalil tentang mereka mempunyai nafsu, dalam surah Al-Waqi`ah ada ayat yang
berbunyi *`uruban atraaba*, yang apabila diterjemahkan bermaksud:
"sentiasa merindui (suami mereka yang berada di dunia) dan muda belia usia
mereka".

Di dalam bahasa Arab, kalimah *`uruban* juga bermaksud berahi berpanjangan.
Dalam istilah yang agak kurang sopan (minta maaf), mereka ini sentiasa
merindui jimak. Saya mohon maaf sekali lagi, tapi wanita dengan sifat
sebeginilah yang diidamkan oleh hampir semua lelaki. (ah..aku rasa bukan
HAMPIR semua, tapi memang SEMUA lelaki normal macam tu).

Tentang pengertian kalimah *atraaba* pula, nantilah bila ada masa yang
sesuai aku huraikan dalam artikel yang khusus tentang bidadari..*for guys
only*. ;-j

---

Baiklah. Anda dah nampak, cara untuk mengelakkan suami anda dari melayani
bidadari, ialah dengan sentiasa ada di sisi suami. Senang saja bukan?
Barulah bidadari lain tak 'kacau daun'.

Betul?

Tapi adakah anda pasti?

Kita rujuk sebuah hadith yang menceritakan tentang keadaan penghuni syurga;

Para Sahabat bertanya, adakah penghuni syurga melakukan jimak, dan
bagaimanakah keadaan mereka? Dijawab oleh Rasulullah, "Benar. Oh, sungguh
hebat sekali. Tenaga dan kenikmatan mereka Allah gandakan kepada seratus,
dan mereka sekali pun tidak akan merasa letih." ~au kama qaal

Hmm. Maknanya, kalau Ketua Bidadari tak mahu berenggang dengan suami, maka
alamatnya tak keluar dari bilik la. Layanlah sampai dia puas.

"Tak kisah, janji dia tak layan bidadari.." mungkin itu jawapan seorang
wanita.

Saya beritahu lagi; Ahli syurga juga tidak tidur, kerana terdapat hadith
yang menyatakan bahawa "tidur itu saudara mati, maka ahli syurga tidak
memerlukan kepada tidur, tidak mengantuk, dan tidak letih, lapar, atau
dahaga..". (au kama qaal)

Jenuh la kali ni tak turun-turun dari katil. Sanggupkah anda? Berapa minggu
anda sanggup? Berapa tahun? Berapa dekad? Berapa kurun?

Jika di hati anda terdetik rasa bosan, para bidadari di luar bilik akan
mengetuk pintu sambil bertanya bilakah gilirannya akan sampai. "Ketua! Biar
kami pula ambil alih!" ..mungkin itu yang mereka kata.

"Biarlah diorang menunggu kat luar..aku takkan tinggalkan suami aku!"
Mungkin ada wanita yang berfikir begini.

Izinkan saya bertanya lagi; "Tak nak pergi *shopping* ke?" ; )

"Eh, shopping? Shopping apa? Kat mana?"

Mafhum daripada beberapa hadith yang mutawatir,
Pada setiap Jumaat Allah adakan suatu 'pasar' di syurga. Di pasar inilah,
ahli syurga diberi nikmat terbesar antara segala nikmat di syurga, iaitu
diizinkan melihat kepadaNya. Tiada satu pun ciptaanNya yang mengatasi
keindahan Sang Pencipta, Rabbul Jalil yang bersifat Al-Jamiil.

Dan di 'pasar' syurga inilah Allah sediakan segala pakaian, makanan, dan
perhiasan (barang kemas dan aksesori) yang berbagai-bagai rupa, beraneka
warna dan bentuk.

Ahli syurga cuma perlu melihat kepada contoh 'produk' yang dipamerkan,
niatkan "Aku mahu yang ini!"; maka dengan serta-merta benda itu sudah
dipakai di tubuhnya. Boleh juga meminta seperti itu apabila terlihat ada
ahli syurga yang lain, memakai sesuatu yang menarik perhatiannya.

Kenapa perlu ada pasar? Kan boleh minta saja dari dalam bilik?

Perlunya ada pasar ini kerana ahli syurga ketika itu dah tak tahu apa lagi
yang mahu diminta, kerana terlalu lama dan banyaknya nikmat yang diperolehi
mereka.

Ibarat anda dah dapat semua *file/software* yang anda ingini, sampai anda
tak tahu nak download software/file apa lagi di internet. Dah tak tahu nak
'search' apa, sampai termenung di depan superkomputer yang terhebat dan
terlaju di dunia, milik anda. Lebih kurang macam tu la ibaratnya.

Maka di 'pasar' syurga inilah terdapat pakaian dan barang kemas serta
aksesori wanita (dan lelaki) dalam 'rekabentuk terbaru'...' latest design'
kata sesetengah orang. Sebab itu ahli syurga tidak akan merasa jemu.

Dan apa yang paling hebat, semua yang ada di pasar ini adalah PERCUMA!
Ibarat Ivana Trump pergi shopping di HyperMall milik ayahnya yang asyik
pecat orang ("you're fired!"). Tapi di syurga pastinya berjuta-juta- juta
kali lebih mewah. Dan anda kekal muda selama-lamanya, tak macam minah saleh
tu..

Di pasar syurga tu, semua benda yang menyenangkan hati anda boleh didapati.
Niat saja nak pakaian baru, anda akan tiba di Department Pakaian Wanita.

"Handbag LV (Louis Vuitton) ada ke?"
..cheh. Ada sorang minah yang baca artikel ni boleh terfikir nak tanya
camni..

Begini sajalah. Biar saya bacakan mafhum sebuah hadith lagi.
"Jannah itu ialah satu kawasan yang tersangat luas. Terdapat lembah, sungai,
pohon, dan bukit. Tanah di tengah-tengahnya yang paling tinggi, dan
Al-Firdaus berada di tempat yang paling tengah dan paling tinggi".

belum habis lagi..ada sambungan hadith ni;

"Keseluruhan syurga itu terdapat seratus tingkat. Pada tingkat yang terendah
dan pertama, kesemua sudu senduknya, gelas pinggannya, kerusi mejanya
diperbuat daripada perak. Tingkat yang kedua, semua sudu senduknya, gelas
pinggannya, kerusi mejanya daripada emas; pada tingkat yang ketiga, sudu
senduknya, gelas pinggannya, kerusi mejanya daripada yaqut, lu'lu' dan
zabarjad (batu-batu permata yang mahal), dan pada sembilan puluh tujuh
tingkat lagi hanya Allah yang mengetahuinya. Jarak antara satu tingkat
dengan tingkat yang lain adalah sejauh jarak langit dan bumi."

Rasulullah hanya sempat meninjau tiga tingkat yang pertama sahaja sewaktu
isra' dan mi`raj.

Syurga tingkat pertama yang terendah adalah untuk ahlul fitrah, manusia yang
tidak pernah beriman tetapi seruan tauhid tidak pernah sampai kepada mereka
ketika hidup di dunia dahulu. Mereka diizinkan masuk ke syurga setelah
selesai menjalani qisas di mahsyar, jika mereka ada menzalimi sesama mereka.
Inilah tanda betapa Maha Pemurahnya Allah Yang Maha Adil, tidak menzalimi
seorangpun hambaNya.

Tingkat pertama ini juga adalah untuk para muallaf yang hanya sempat
mengucapkan syahadah tanpa satu pun amalan baik, dan tiada satu pun kalimah
Allah yang sempat dipelajarinya.

Maka sekiranya kita umat Islam ini berjaya ke syurga, tempat kita adalah
bermula dari tingkat yang kedua, atau lebih tinggi lagi. Tingkat kedua,
barang-barang perkakas dapur serta perabutnya diperbuat daripada emas.

Saya tanya; Di dunia sekarang (di bumi) ini, adakah pakaian dan barang kemas
kita diperbuat daripada bahan yang serupa dengan bahan membuat perabut dan
peralatan dapur?

Anda tahu jawapannya ialah tidak. Bahan untuk pakaian dan perhiasan kita
lazimnya mestilah lebih mahal daripada bahan membuat perabut dan perkakas
dapur.

Ertinya, bila sudu dan meja pun diperbuat daripada emas, agaknya apakah
bahan yang jadi pakaian dan barang kemas ahli syurga? Sudah tentu lebih
mahal daripada emas!

Ya. Bahan dan unsur yang lebih mahal itulah yang dibuat pakaian ahli
syurga..termasuk juga kasut tumit tinggi dan handbag (jika anda mahu, pasti
ada!), termasuk juga barang kemas yang ada di Pasar Syurga tu.

Ketika itu jika anda ternampak handbag LV dari alam dunia, mungkin anda akan
terasa jijik nak menyentuhnya macam tengok tahi ayam. Mana ada kelas! Emas
pun setakat jadi jug air je..Gelas minuman pun dibuat daripada berlian
(kalau anda menghuni syurga tingkat atas sikit).

Hm..Di pasar yang bagaikan *real-life catalogue* ini, semuanya lebih mahal
dari perkakas dan pinggan mangkuk anda. Terlalu banyak pilihan. Shopping la
sebanyak mana yang anda mahu. Tak perlu trolley. Kalau anda nak suruh
bidadari bawakan barang yang anda shopping itu pun, mereka pasti gembira
dapat membantu.

Janganlah lupa pula..para bidadari itu juga khadam anda yang sangat suka
berkhidmat. Anda kan ketua mereka?

Ingat ni, kesemuanya anda tak perlu bayar! Bayarannya telah dilangsaikan
dengan keringat, darah dan air mata anda ketika di dunia dahulu.

Tapi kalau nak dapatkan 'design' terbaru tu, kenalah keluar dari rumah
(istana) dan tengok sendiri di pasar Jumaat. Di pasar ini juga ahli syurga
akan bersosial, bertemu rakan lama dan saudara mara.

Berapa luas pasar tu? Jika anda terbang menaiki buraq selama sehari pun
belum habis melihat keseluruhan bahagian 'pasar' itu. (kalau naik kenderaan
yang lebih laju, anda tak nampak apa-apa sebab laju sangat, mengatasi
kelajuan cahaya).

Dan sudah tentu suami anda pun nak pergi ke Pasar Jumaat itu juga untuk
melihat Allah Rabbul Jalil. Ajaklah suami shopping sekali!

Setiap minggu, akan ada design terbaru yang boleh anda dapati. Setiap minggu
juga anda boleh datang shopping di pasar ini. Sampai tahun depan, kurun
hadapan, alaf hadapan...sampai bila-bila. Tiada had usia di syurga..

Soalan terakhir saya: Yang mana lebih menyeronokkan bagi anda; shopping
dengan suami, atau pergi shopping bersama bekas teman-teman rapat, rakan
sekolej (atau rakan serumah) anda dahulu? ;-)

..dan mungkin pada kurun hadapan, suami anda nak pergi memancing di sungai
syurga bersama bekas rakan sekampungnya. ..atau mungkin dia cuma nak 'berehat
di rumah' saja.. ;-j

---

Dah la..tak payah risau. Perasaan cemburu tu kerana disebabkan kejahilan
tentang fitrah lelaki dan tak faham kehendak suami. Ahli syurga tidak ego
dan cemburu buta. Di syurga tiada hasad dengki dan tiada sifat takabbur. *Qaalu
salaaman-salaama~ *
Lelaki dan wanita saudaraku sekelian..MARILAH MENUJU KEJAYAAN!

Mata siapa yang tidak pernah menangis


Assalamualaikum,

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara
kamu!

TAKBIR!! ALLAHUAKBAR!

Wassallam
Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin