;

Khamis, 20 Oktober 2011

Padah apabila abai keinginan seks suami


Mood suami isteri kadang-kadang tak sama. Saat isteri sibuk suami pula mahu dibelai. Begitu juga isteri yang rindu tetapi suami tak dipeduli, tentu tersiksa rasanya. Mengapa pendamkan rindu anda, cakap saja yang anda mahukan si dia saat ini. “Pulanglah atau saya tinggu awak sekarang di bilik romantik kita!” Mesejkan saja begitu, biarkan suami anda berdebar-debar. Tidak salah memaksa pasangan untuk bersama anda saat yang amat anda mahukan. Ketundukan pasangan mengikut saja kemahuan anda menunjukan dia amat mengambil berat terhadap perasaan anda.

Bagaimana pula jika anda benar-benar sibuk tetapi suami mahukan anda saat itu juga. Isteri yang meletakkan prioriti hatinya untuk suami tidak akan tergamak meninggalkan suami kerinduan. Melainkan ada sebab-sebab dendam peribadi yang belum selesai! Mana boleh bersama jika hati masih sakit? Suami pula tak faham perasaan isteri, mahu paksa saja tanpa usul periksa, akhirnya kedua-duanya bertemu dalam keadaan isteri tidak reda, suami pula tak mendapat kerjasama isteri.

Hakikatnya ramai suami isteri boleh menyelesaikan konflik mereka hanya dengan berada di atas katil dan melakukan aktiviti seksual, lepas itu semua masalah boleh selesai tanpa perlu perbincangan. Kepuasan seks keduanya lebih berkesan lagi daripada berbincang tapi tak selesai. Ada juga yang melakukan pendekatan selepas melakukan seks lalu berbincang dari hati ke hati. Inilah yang paling elok untuk diamalkan kerana saat kepuasan sudah dikecapi, kedua-duanya berasa tenang dan mudah untuk memahami satu sama lain dalam keadaan yang seronok sebegini.

Jika isteri abaikan pelawaan suami maka tidak akan berakhir konflik mereka sampai bila-bila. Berbincang saja tidak akan menyelesaikan masalah. Ia mesti dibincang dengan sentuhan dan kepuasan layanan. Singkirkan dulu ego anda dan taatilah perintah Allah supaya isteri mentaati suami selagimana dia tidak menyuruh bermaksiat kepada Allah. Kalau anda masih marah, buat-buatlah merajuk tapi manja. Tunjukkan bahawa anda minta dipujuk, didengar segala keluhan, difahami perasaan yang terbuku, akhirnya tunjukkan yang anda mahu diperlakukan dengan lembut. Suami pula jangan buat-buat tak tahu, jangan anggap seks boleh selesaikan segalanya, boleh jadi isteri tak puas lagi dan dia memerlukan lebih dari sekadar seks iaitu sentuhan hati.

Tetapi, isteri jangan sesekali lari dari sentuhan suami akibat terlalu marah. Buruk padahnya jika menutup pintu perdamaian dengan suami. Boleh jadi sikap anda ini akan menjadi kebiasaan buruk yang merosakkan mood suami, kasih sayang boleh terjejas dan tidak ada kekecewaan yang paling dalam dirasai suami sedalam kekecewaan dipinggirkan isteri sendiri.

Suami tak boleh menunggu jika rindunya datang. Isteri mesti memahami keghairahan suami lebih penting dari memasak di dapur atau menyusukan anak atau mengemas rumah. Mengikut kehendak suami bukan bermakna anda menjadi hambanya, bahkan sebenarnya anda telah menjadi ratu di hatinya. Kedudukan anda begitu hebat di jiwanya, sehingga suami berasa andalah satu-satunya yang dapat menolong ketika itu. Dia umpama anak kecil waktu itu. Andalah penyelamat suami yang dahagakan kasih sayang, bukan hamba seks atau mangsa dera sebagaimana yang selalu dikobar-kobarkan aktivis hak asasi wanita. Kecuali memang sahlah suami anda zalim, menganiaya tubuh badan anda, takkanlah setakat menyakiti hati kerana tak ikut kemahuan isteri maka suami boleh semena-menanya dijauhi?

Kalau isteri benar-benar bijak, dia akan mengambil peluang dari kelemahan suami yang sedang rindu ini. Isteri secara halus menguasai suami ketika suami benar-benar memerlukannya. Nyatalah sebenarnya isteri lebih berperanan daripada suami yang tewas kerana kerinduan, isteri boleh memainkan mood suami sehingga dia merasai ketenangan. Tangan anda yang membelainya dengan lembut sesungguhnya memiliki kekuatan berbanding ego suami.

Jika anda boleh mengalahkan ego anda sendiri nescaya anda boleh mengalahkan suami anda. Semua kejayaan hanya dapat diperolehi setelah anda mengawal diri sendiri. Tiada siapa yang menang dan kalah dalam percintaan. Orang yang saling mencintai tidak akan memiliki perasaan terpaksa, terdera, terancam oleh pasangannya. Kerana cinta akan melahirkan perasaan rela dan reda hati kepada pasangan. Inilah darjat cinta tertinggi.

Rindu suami mesti diubat cepat-cepat, jangan tunggu sampai moodnya hilang, nanti anda sendiri rugi masalah pula tak selesai bahkan makin menjadi. Jika ia memanggil untuk bersama, inilah peluang keemasan yang tidak harus ditolak. Kepuasan jasad dan perasaan mesti dicari bersama, jangan setengah-setengah! Setelah puas maka berbincanglah soal hati. Barulah kita faham maksud dan kenyataan yang diluahkan Rasulullah SAW kepada para isteri dalam sabdanya yang bermaksud: “Apabila seorang suami mengajak isterinya untuk berhubungan intim, hendaklah isteri melayaninya walaupun dia sedang memasak di atas dapur api.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Para isteri hendaknya menjadikan hubungan intim itu sebagai peluang menakluk hati suami bukan malah merasa terdera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin