;

Rabu, 16 November 2011

Mandian Syurga rangsang suami isteri


Mengapa malu melakukan aktiviti mandi bersama yang merangsangkan anda dan suami? Bukankah ia halal dan menjadi amalan Nabi SAW dan isteri baginda Aisyah RA? Namun begitu jangan hanya amalkan mandi bersama saja untuk merangsangkan cinta anda berdua tapi cubalah beberapa petua mandian yang sebenarnya lebih penting diamalkan untuk pasangan suami isteri supaya cinta mereka kekal selama-lamanya hingga ke syurga. Mandian syurga ini terdiri dari tiga wangian mandian, antaranya ialah:

1. Wangian taubat
2. Wangian ujian
3. Wangian ibadat

Apakah ramuan wangian taubat itu?

Seorang suami yang bermasalah dengan sikap dan sifatnya yang kasar atau tidak bertanggung jawab dalam memberi nafkah kepada isteri, merendah-rendahkan maruh isteri, mendera fizikal dan mentalnya, suami sebegini memerlukan wangian taubat sebagai penawar penyakitnya. Begitu juga isteri yang suka membuli suami, membelanjakan hartanya dengan boros, menjual murah maruahnya tanpa segan malu kepada lelaki lain dan tidak menunaikan tanggungjawabnya terhadap suami, sememangnya kedua-duanya perlu dibersihkan sebersih-bersihnya dengan mandian wangian taubat.

Jika mahu perkahwinan kembali bahagia, suci dan bersih dari sebarang penyelewengan, semestinya mereka tundukkan hati dan bertanya kepada diri sendiri, mahu ke manakah hidup ini dikemudi? Pasangan yang mahukan bahagia pasti akan berusaha sekuatnya mencari jalan keluar dari masalah yang mereka hadapi dan sememangnya hanya satu jalan saja yang pertama-tama mereka harus pilih iaitu bertaubat kepada Allah SWT. Taubat membawa maksud menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lagi, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran ayat: 135)

Kalau hanya setakat menyesal kemudian berterusan dengan sengaja melakukan dosa lagi, ia tidak akan merubah apa-apa. Bertaubatlah dengan sebenar-benarnya bersama pasangan anda. Walaupun anda berdua tidak pernah melakukan dosa besar tapi bertaubatlah dari kelalaian kerana dunia, sifat sombong dengan amal baik dan melengah-lengahkan ibadat. Bertaubatlah dari sifat tidak bersyukur kepada pasangan anda, suka mencari kesilapannya, enggan membantu jika dia kesusahan dan mungkin sesekali hati anda pernah berpaling kepada wanita lain selain isteri atau lelaki lain selain suami.

Wangian yang kedua ialah wangian ujian. Orang beriman akan melalui proses pembersihan sebelum mereka berjumpa Allah SWT. Melalui ujian dunia yang menyakitkan yang datang silih berganti, orang mukmin yang sabar akan dihapuskan dosa-dosanya. Dalam berumahtangga tidak mungkin kita terlepas dari sebarang bentuk cabaran, ia pasti hadir di tengah-tengah keseronokan bercumbu kasih dengan pasangan. Jadi, nikmati saja wangian ujian itu bersama suami anda kerana ia akan membuat anda berdua bersih dari sebarang dosa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah sekali-kali seorang mukmin ditimpa kesulitan, kecemasan, kepayahan dan kesedihan hatta duri yang mencucuknya melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Kadangkala isteri tidak banyak masa untuk melayan suami kerana tugas-tugas rumahtangga dan kerjaya, suami hendaklah bersabar dengan ujian sebegini, elok lagi jika dia bersedia meringankan kerja-kerja isteri agar kemesraan itu dirasa bersama dalam susah dan senang.

Setelah mandi dengan dua wangian tadi maka sempurnakanlah bilasan terakhir anda dengan wangian ibadah. Wangian ini amat berkesan untuk membersih daki-daki dosa kecil yang sering dilakukan setelah sebelumnya dosa besar dicuci dengan wangian taubat. Ibadah solat menjadi penghapus dosa setiap hari sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Solat lima waktu, solat Jumaat ke Jumaat, puasa Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan di antara keduanya selagimana dosa besar dihindari.” (Hadis riwayat Imam Muslim dan Tirmizi)

Manakala zikrullah amat elok diamalkan bagi mereka yang kesuntukan masa. Ia tidak perlukan wuduk atau menutup aurat dan amat ringan dilakukan padahal amat berat pada timbangan amal. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiap yang berzikir 100 kali iaitu Lailahaillallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku walahul hamdu, wahuwa ‘ala kulli syai’in qadir. Nescaya dicatat baginya 100 kebaikan, dihapus 100 kejahatan, pahala sama seperti memerdekaan 10 orang hamba dan menjadi pemelihara baginya dari gangguan syaitan pada hari itu hingga petang harinya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Jika kesemua wangian tadi menemani anda dan suami setiap hari. Insya Allah rangsangan cinta itu akan lebih kuat dan segar kerana wangian ini membawa kepada kenikmatan syurga sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin