;

Rabu, 16 November 2011

FORMULA MENDAPATKAN KETENANGAN HATI


Ketenangan hati adalah punca kebahagiaan. Jika ia dapat dibeli dengan wang ringgit, sudah tentu orang yang memiliki kekayaan sahaja yang dapat tersenyum lebar. Atau mungkinkah ketenangan hati hanya boleh dirasai oleh orang yang glamor dan terkenal, cantik, seksi atau segak sahaja? Tidak semudah itu meletakkan harga ‘ketenangan’ pada apa yang mereka miliki. Bukankah Allah Taala Maha Adil. Rupanya ketenangan itu bersifat abstrak dan susah untuk diprediksi. Si miskin yang tinggal di rumah usang di pinggir desa pun mampu tersenyum bila mendapat seratus dua ringgit sebulan, hasil usaha dengan hati yang cekal dan gagah mengharung nasib. Berbanding mereka yang mengeluarkan seribu dua ribu ringgit untuk melepak di hotel-hotel terkemuka tetapi berhati risau dan sedih, takut dan pengecut menerima suratan takdir. Ada yang mengorbankan maruah dan sifat manusiawinya untuk kemewahan semata, padahal dia tidak mampu memberi ‘ketenangan’ yang diimpikannya selama ini.

Ketenangan yang dicari menjadi formula yang amat berharga. Di manakah ia tersembunyi? Ada yang mencarinya di tempat yang salah, ada juga yang menemuinya di tempat yang betul tetapi terseleweng akibat kecetekan ilmu. Sesungguhnya ketenangan itu milik Allah Taala, hanya Dia yang boleh meletakkannya di dalam hati makhluk-Nya. Manusia boleh mencari ketenangan semahunya tetapi sayang, ke manapun dia pergi sulit untuk dijumpai. Rupanya Allah Taala belum berkenan menitiskan ‘benih ketenangan-Nya’ ke dalam hati si pencari ini. Padahal telah banyak air mata yang ditumpahkannya untuk membeli ketenangan abadi. Kasihan sungguh orang seperti ini. Hanya belaian rahmat Allah Taala saja yang mampu mengusap air matanya.

Hamba ini tak tahu bahawa ketenangan yang dicarinya selama ini berada dekat di hatinya, tempat yang disinggahi para malaikat, di situlah hujan rahmat sentiasa turun mendamaikan jiwa. Di manakah destinasi itu? Ketenangan hanya dapat anda rasai bila berada dekat dengan Allah Taala. Dekat sedekat-dekatnya, hingga kita tidak pedulikan apa-apapun melainkan Dia. Mengapa manusia lupa bahwa hanya Allah saja yang Maha Tahu formula yang paling baik untuk mendapatkan ketenangan? Bukankah Allah Yang Maha Mencipta pasti memegang segala rahsia kebahagiaan? Allah Taala telahpun menurunkan syariat-Nya yang mengandungi formula-formula yang hebat itu. Tetapi manusia justeru memilih formula yang lain. Semakin dia menjauh diri dari Allah SWT, semakin tersiksa batinnya. Hawa nafsunya semakin tenat kerana tidak pernah puas mencari kebahagiaan palsu.

Formula ketenangan itu ada pada ilmu yang bermanfaat. Carilah rahmat Allah SWT di atas lembaran-lembaran al-Quran, terangilah jalan anda dengan suluhan Rasulullah SAW melalui hadis-hadis baginda. Ketenangan berpunca daripada destinasi ini. Iaitu kembali kepada Allah dan Rasul-Nya dengan menuntut ilmu, mengkaji dan mengamalkannya. Nescaya kita tetap berada pada landasan yang betul walaupun zaman berubah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin