;

Selasa, 19 Februari 2013

"Kalau Dia Tak Tolong Kita, Kita Jadi Penganggurlah Dulu", Mahathir Telah Menghina Orang Melayu

Menjawab Mahathir: Kalau kita tolong dia, dia balas duit kita…. “ORANG memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa”, inilah kalimah indah yang diungkap sejak kecil sehingga menyatu dalam minda dan gerak tindak kita sebagai individu. Mungkin atas sebab itu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu agar rakyat terutamanya peneroka FELDA agar “tidak menggigit tangan orang yang membantu mereka.” Sudah tentu kita tahu, mesej langsung Mahathir ialah agar peneroka FELDA tidak mengundi oposisi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi. Dia mahu peneroka membalas budi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyediakan segala “nikmat” yang dikecapi mereka. “Kenapa kita nak tolong dia (BN), sebab dia tolong kita. Kalau dia tak tolong kita, kita jadi penganggurlah dulu,” katanya pada majlis ‘Warga FELDA Bersama Negarawan Ulung Tun Mahathir Mohamad’, di Kuala Lumpur, semalam. Nilai terima kasih dan balas budi yang ditekankan Mahathir itu sama dengan apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah kata, “You help me, I help you”. Apapun, bukanlah perkara itu yang mahu dibincangkan. Dalam hal ini, Mahathir secara tidak langung telah menghina orang Melayu. Memetik kenyataan beliau “Kalau dia tak tolong kita, kita jadi penganggurlah dulu” menggambarkan seolah-olah orang Melayu itu tidak tahu berusaha, bodoh dan hanya mengharap ‘sedekah’ dan ‘suapan’ dari kerajaan. Adakah orang Melayu perlu berbangga dengan pembodohan ini? Pergantungan kepada kerajaan: Bila orang Melayu meletak harap hanya pada kerajaan mereka boleh hidup senang-lenang, UMNO-BNlah yang meraih laba besar daripada sikap ini. “Budaya” suap-menyuap, budaya subsidi yang berjaya menjadi budaya baru orang Melayu adalah kejayaan UMNO paling besar. Dan kita tidak perlu hairan sekiranya sebahagian besar orang Melayu mempunyai sikap pasif dan penakut akibat pembodohan ini. Melayu telah hilang daulat, demokrasi telah hilang cahaya apabila konsep ‘balas budi’ ini dikeramatkan. Walhal, kita sudah maklum, tanpa usaha tulang empat kerat ini, takkan berbuah sawit di ladang, takkan keluar susunya getah, takkan menguning padi di sawah. Ya, kita haru akui, UMNO-BN berjaya dengan doktrin songsang mereka apa lagi lebih lima dekad memerintah. Memang, menjadi tanggungjawab mana-mana pemerintah memberi kemudahan kepada rakyatnya. Masakan tidak, rakyat juga memberi kesenangan kepada pemerintah dengan membayar segala macam cukai kepada kerajaan. Daripada sebiji bawang, sampailah kepada cukai pendapatan. Tidak satupun terlepas dicukai. Maka memang patutlah kerajaan menyediakan kemudahan bagi rakyat. Ini tidak lagi termasuk saman, kompaun, yang dikenakan, dan dengan itu juga, duit kerajaan ini disalahgunakan sehingga tak mampu lagi disembunyi seperti kes pemberian kontrak puluhan bilion kepada syarikat tertentu, isu lembu NFC, pembelian kapal selam Scorpene, isu cincin RM24 juta, isu FGVH dan sebagainya. Semuanya adalah duit kita. Jadi, di mana boleh kita letak logik kenyataan Mahathir agar rakyat membalas budi kerajaan bersandarkan realiti yang berlaku di Malaysia kini? Dulu lain, sekarang lain…. Rasanya Mahathir sendiri memang tahu kerajaanlah yang sepatutnya membalas jasa rakyat. Ekonomi Malaysia tidak akan rancak tanpa pembabitan jutaan rakyat Malayia yang bertungkus lumus bekerja. Atau, adakah Mahathir boleh bersetuju dengan andaian sebegini, seorang bapa mencabul anaknya dengan alasan beliaulah yang menyara anaknya sejak kecil? Sikap berterima kasih, membalas budi, harus pada tempatnya, jangan sampai dipijak kepala. Terlajak dengan kenyataan Mahathir itu, mungkin ungkapan ini sesuai dengan realiti sebenar yang berlaku di negara ini, “Kalau kita tolong dia (BN), dia balas duit kita semua!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin