Khamis, 16 Disember 2010

Aset Melayu Kampung Baru bakal dilupus

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR, 16 Dis: PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan hasrat kerajaan untuk memansuh dan membubarkan Enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu (Lembaga MAS) apabila Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 dikuatkuasakan kelak.

Rang Undang-undang Akta tersebut telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada Selasa lalu oleh Datuk Raja Nong Chik, Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Rang undang-undang tersebut akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan Mac akan datang.

Seksyen 57(1) dan (2) Rang Undang-undang tersebut secara jelas menyatakan berkenaan pembatalan dan pembubaran enakmen dan Lembaga MAS tersebut dan perkara ini mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap survival pemilikan hartanah orang-orang Melayu di Kampung Baru.

Menurut Penasihat Undang-Undang PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, ini kerana kaedah-kaedah yang digariskan di bawah Enakmen MAS tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa hartanah di Kampung Baru hanya boleh dimiliki dan dipindahmilik oleh orang-orang Melayu sahaja.

“Apa yang dibimbangi ialah dengan pemansuhan tersebut, tidak ada jaminan lagi hartanah Kampung Baru akan terus kekal seratus-peratus milik orang-orang Melayu di masa akan datang,” ujarnya.

Tambahan pula, jelasnya tafsiran “kepentingan orang Melayu” yang dimaksudkan dalam akta tersebut hanya merujuk kepada budaya, adat resam dan seni bina bangunan masyarakat Melayu sahaja dan tidak secara jelas menyatakan berkenaan pemilikan hartanah mesti kekal di tangan orang Melayu.

Ini, tambahnya diperkuatkan lagi dengan fungsi perbadanan yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 akta tersebut bahawa perbadanan boleh berurusan dengan “mana-mana orang” untuk mengurus serta memindahmilik dan melupuskan aset Kampung Baru.

Kesudahannya, kata beliau jika rang undang-undang ini diluluskan kelak, maka milikan hartanah orang Melayu di Kampung Baru akan terancam dan tidak ada jaminan ia akan terus kekal.

Pembubaran Lembaga MAS juga, katanya merupakan satu tindakan yang langsung tidak menghormati badan tersebut yang telah berkhidmat lebih satu abad lamanya dan terus berkhidmat untuk penduduk Kampung Baru sehingga kini.

Menurutnya, tindakan kerajaan tersebut bukan sahaja membelakangkan penduduk Kampung Baru, malah ia menafikan langsung suara dan penglibatan wakil-wakil penduduk dalam proses pembangunan tanah dan masa depan mereka sendiri.

Tegasnya, Umno jelas sekali lagi mengkhianati amanah untuk menjaga survival dan milikan tanah orang-orang Melayu di negara ini.

“Selepas tanah-tanah rezab orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya, kini kampung-kampung tradisi dan warisan orang Melayu pula cuba diintai oleh tauke-tauke elit yang mendambakan keuntungan maksimum di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur ini,” katanya.

Beliau menambah, cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah Seksyen 19 Akta tersebut yang diwakili oleh lima belas orang wakil masyarakat Kampung Baru pula sekadar melepaskan batuk di tangga dan jelas menampakkan ketidakjujuran dan ketidaktelusan Kerajaan.

Ini, katanya kerana akta tersebut menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan tidak terikat untuk mengikut apa-apa, nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru tersebut.

Oleh itu, jelasnya peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kaca mata kerajaan.

PAS Wilayah Persekutuan, tegasnya mengulangi pendirian membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru tersebut dan menyokong penuh saranan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali untuk menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan langsung dalam pembangunan Kampung Baru tersebut.

“Proses pembangunan Kampung Baru perlulah dilakukan dengan telus dan mengikut pandangan dan suara hati anak-anak Kampung Baru sendiri,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin