;
Rabu, 6 Julai 2011
Menghapuskan Imej ‘Average’ Islam
Paling ketara tentang imej Islam (di mata masyarakat majmuk Malaysia) berlaku setiap hari Jumaat apabila umat Islam keluar menunaikan Solat Jumaat.
Bermula dari jam kira-kira 12.30 tengah hari sehinggalah lewat sedikit jam 2.00 petang, terasa semacam wujudnya rasa kejelakatan (sense of cohesiveness) padu di kalangan umat Islam tanpa mengira status sosial, kepercayaan fahaman politik, keturunan malah bangsa, atau apa sahaja yang menjadi pemisah sosial di antara sesame manusia.
Namun setelah ucapara Solat Jumaat berakhir, imej Islam kembali menjadi satu imej yang bersifat purata sahaja. Tidak ada yang ketara tentang Islam dan umatnya.
Benar di mana-mana sekalipun di negara ini terdapat masjid dan surau dan ia kembali dikunjungi pada waktu solat fardhu. Tetapi tidak ramai yang berkunjung ke masjid atau surau untuk berjamaah kecuali untuk Solat Maghrib di mana jumlahnya dalam sebutan saf mungkin melebihi tiga atau empat saf bagi masjid dan barangkali enam atau tujuh saf bagi surau.
Bagi ceramah dan kuliah subuh yang diadakan dari masa ke masa, jumlah hadirin yang menyertainya, lebih lazim dari tidak, boleh sahaja dikira dengan jari. Boleh dikatakan mereka hadirin yang sama setiap kali majlis seumpama itu diadakan.
Majlis serupa ini mungkin gagal menarik minat umat Islam di sekitar surau atau masjid berkenaan kerana beberapa faktor antaranya kerana cara penyampaian ceramah tidak mencerminkan peredaran zaman. Terdapat juga penceramah yang cuba menggunakan perkataan bombastik tetapi sama ada terkeluar konteks sama sekali atau tidak dapat difahami oleh pendengar.
Ayat tradisional seperti “barangsiapa… nescaya…” yang sudah lagi tidak berupaya menarik minat golongan muda dan apatah lagi golongan atau membuatkan mereka takut kepada Allah.
Sejak dulu lagi sudah ada suara yang melahirkan kebimbangan ini. Nampaknya dakwah Islamiyyah bukan sahaja gagal disampaikan kepada orang bukan Islam tetapi turut sama gagal disebarkan kepada umat Islam sendiri.
Namun kesalahan kerana tidak menghadiri majlis ilmu dan agama seperti ini tidak harus diletakkan kepada umat Islam semata-mata, termasuk mereka yang berhasrat untuk menghadirinya tetapi mengalami fenomena hilang minat secara tiba-tiba akibat beberapa perkara yang sepatutnya tidak berlaku.
Pernah di satu ketika dulu, sekitar bulan Ramadan tahun 2007, beberapa orang anak muda yang tinggal di sebuah kawasan perumahan kelas sederhana atasan berkunjung ke sebuah masjid untuk turut bersama hadir dalam majlis Qiyyamulail. Mungkin suasana bulan Ramadan ini telah menyebabkan mereka mahu mengubah cara hidup langsung cuba mendekati Allah. Tetapi selepas kedua mereka tidak lagi muncul sehinggalah malam terakhir gara-gara penceramah kerajaan yang ditugaskan untuk memimpin majlis pada malam itu telah sampai lewat. Majlis sepatutnya bermula jam 3.00 pagi tetapi penceramah hanya tiba di masjid jam 4.20 pagi.
Bagi generasi muda ini, sekiranya perkara menepati waktu yang paling asas dan dituntut oleh Islam ini pun gagal untuk orang yang sepatutnya mencapaikan ceramah tentang agama, bagaimanakah mereka harus memberikan kepercayaan kepada apa yang bakal diperkatakan. Ia cuma menepati ungkapan ‘cakap tak serupa bikin’.
Sebagaimana perbandingan, senario berbeza terlihat di masjid dan surau yang diasosiakan dengan PAS terutama sekali di Kelantan dan Terengganu. Tanpa menyentuh soal politik, apabila masjid dan surau ini mengadakan majlis ilmu dan ceramah agama, termasuk kuliah Subuh, kuliah selepas waktu Maghrib, Qiyyamulail dan sebagainya, jumlah yang hadir adakalanya melimpah keluar bangunan.
Mereka yang hadir itu bukan sahaja terdiri dari golongan ahli dan penyokong PAS tetapi termasuk dari ahli dan penyokong UMNO serta mereka yang tidak menyokong mana-mana parti politik. Rata-rata semuanya hadir untuk menimba ilmu dan seterusnya mendapatkan keberkatan.
Walaupun adakalanya pendekatan bahasa penceramah PAS ini masih lagi bernada tradisional, tetapi setiap yang hadir berjaya memperolehi ilmu baru, kesedaran segar dan paling penting keinsafan untuk berusaha mengubah diri agar dapat menjadi insanul kamil dan hamba yang diredai Allah.
Suka atau tidak hari ini, terdapat mereka dari golongan generasi muda yang menyokong politik UMNO tetapi dalam waktu yang sama memiliki pengetahuan agama yang kukuh adalah terdiri mereka yang telah ditarbiyyahkan dan didik oleh PAS menerusi majlis ilmu dan agama anjuran PAS, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Ada yang merasa hairan mengapakah kerajaan yang dikuasai UMNO dengan sumber kewangan serta prasarana termasuk masjid yang lengkap dan tidak terhad gagal membudayakan agama kepada golongan muda ini menerusi pelbagai program agama yang tidak semestinya terbatas kepada majlis ceramah seumpama itu.
Sebaliknya kegagalan melahirkan sebarang usaha jitu atau menganalisis prestasi keberkesanan program seumpana itu dan kegagalan mengawasi hala tuju golongan muda sama ada oleh kerajaan, oleh UMNO atau oleh agensi agama di bawah pentadbiran kerajaan memperlihatkan trend negatif dan penyerapan budaya hedonisme yang seolah-olah tidak disemak langsung.
Sekiranya program agama melepaskan batuk ditangga termasuk program seperti Imam Muda yang diselitkan sebagai program TV di celah-celah program Barat yang menghidangkan aksi intim serta program tempatan yang mempamerkan wanita Malaysia dengan pakaian yang mendedahkan sebahagian besar aurat dan cukup mengaibkan berterusan maka kita mungkin akan berjaya melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang dinamik dan progresif tetapi bukan umat Islam yang bertaqwa.
Di kalangan ahli dan penyokong PAS golongan muda, terdapat ramai anggota profesional dan mendapat pendidikan Barat tinggi malah di peringkat sarjana dan juga doktor falsafah. Mereka ini tidaklah begitu berminat dengan politik dalam erti kata politik per se. Mereka bekerja di sektor kerajaan dan swasta dan moden dari segi pendekatan dan cara hidup. Bezanya, mereka adalah merupakan anak-anak muda yang cukup bertaqwa.
Mereka ini tidak keberatan menyertai majlis ilmu dan agama di masjid atau surau kerajaan atas nama menambahkan lagi ilmu agama dan seterusnya ketaqwaan. Tetapi sudah tentu mereka memerlukan lebih dari sekadar, “barangsiapa…nescaya” atau analogi tentang ganjaran pahala Tuhan yang disamakan macam kredit telefon bimbit (sebagaimana yang disampaikan oleh seorang penceramah kerajaan di sebuah masjid Ampang beberapa tahun lalu.)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tajuk Apa Hari Ini
-
▼
2011
(58)
-
▼
Julai
(9)
- Salam Ramadhan
- Apa yg hebat sangat UMNO sampai boleh bagi diskaun...
- Busana Muslimah: Betul VS Salah
- bersih
- Senarai ringkasan lokasi tempat makan popular di P...
- Tuduh Bersih diresapi komunis, tapi penuduh pun ma...
- Bersih 2.0: Kekasaran polis punca utama kematian B...
- BINATANG HURAISY MEMBURU LIMA JENIS MANGSANYA
- Menghapuskan Imej ‘Average’ Islam
-
▼
Julai
(9)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan