;

Jumaat, 26 April 2013

Kenapa risau untuk berubah?

SEORANG teman pernah mengungkap ratap keluhannya tentang keadaan kecelaruan politik yang terpaksa ditempuhi hari ini. Pernyataan itu diungkap dalam catatannya di Facebook lebih kurang begini: “Barisan Nasional bukanlah pilihan, tetapi Pakatan Rakyat juga membimbangkan ...” Keluhan seperti ini sebenarnya dikongsi rasa kebanyakan anak muda hari ini yang sudah muak dengan perilaku pemimpin BN, dan dalam masa sama, mereka tetap berwaspada ke atas kelemahan Pakatan. “Apa pilihan yang ada?” demikian antara deretan pertanyaan orang-orang dalam kumpulan ini. Tajribah eksperimen dalam menukar kerajaan adalah sesuatu yang amat mahal harganya bagi mereka barangkali. Seolah-olah, jika ditakdirkan Pakatan memerintah, maka keadaan menjadi lebih buruk dan binasa teruk dibanding sebelumnya ketika di bawah BN. Sedangkan perbandingan antara BN dan Pakatan ini boleh dijelaskan dengan pernyataan: “Seburuk-buruk Pakatan adalah sebaik-baik BN.” Kelompok ‘atas pagar’ ini mesti diberikan ruang dan peluang secukupnya untuk membuat penilaian secara bijaksana. Kelompok ini perlulah dimesrakan selalu dengan pujuk rayu bahawa “menukar kerajaan bukanlah salah atau satu jenayah”. Dan, hakikat ini (percubaan menukar kerajaan) sememangnya lumrah, dan sering berlaku di kebanyakan negara demokrasi. Dan, ketakutan ini sedang diciptakan Umno-BN setiap hari. Yang terhidang dan siap tersaji sebagai santapan fikiran umat hari ini adalah “keburukan menukar kerajaan”. Kita patut meluruskan semula garis-garis penyimpangan ini. Betapa eksperimen menukar kerajaan tidak sepatutnya digambarkan sebagai “jenayah.” Hal ini membuat Dr Mahathir Mohamad jadi resah selalu. Dr Mahathir rela meletakkan jawatan sebagai PM, tetapi beliau tidak merelakan kerajaan BN bertukar. Hal ini juga disokong Pengerusi KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen), Ahmad Lutfi Othman ketika cuba mengungkap beberapa pola pemikiran yang seringkali bermain di fikiran pengundi yang dahagakan perubahan, tapi dalam masa sama masih kekal berada di dalam zon curiga itu. “Dr Mahathir memang takut apabila rakyat cuba melakukan eksperimen menukar kerajaan ini,” begitu luahnya dalam suatu temubual ringkas bersama beliau di pejabat Harakah dekat Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Menurut Ahmad Lutfi, memang ada kalangan rakyat yang berasa muak dengan BN, tetapi golongan ini juga masih kekal menaruh kewaspadaannya ke atas Pakatan, mungkin disebabkan pendedahan media tentang kurang persefahaman di antara parti-parti komponen. “Majoriti rakyat dan jelak dengan karenah Umno-BN terutama berkaitan kecurangan dan korupsi tetapi mereka juga diragukan untuk membuat perubahan,” tambahnya. Hal sedemikian tidak boleh dipersalah ke atas rakyat seratus peratus apatah lagi dalam keadaan BN masih menakluk media awam yang didanai rakyat. Jelas, ini bukannya demokrasi tulen. Bagaimanapun, dari sudut lain, Ahmad Lutfi turut menggesa golongan yang masih was-was dengan Pakatan agar berani mencuba. Pengalaman memerintah beberapa negeri dan pujian Ketua Audit Negara terhadap perjalanan ekonomi negeri masing-masing menjadi testimoni terbaik. “Perubahan hanya dapat dilakukan dengan menukar kerajaan, rejim yang telah memerintah hampir 6 dekad sudah mempunyai banyak peluang tapi disesiakan begitu saja,” kata Ahmad Lutfi. Baginya, perubahan pemikiran rakyat itulah yang lebih diutamakan sebenarnya. “NGO dan masyarakat sivil contohnya mestilah diperkasakan,î kata beliau lagi sambil menekankan sikap terbuka pemimpin Pakatan bila memerintah nanti. Ahmad Lutfi turut menekankan, perjuangan rakyat tidak berakhir hanya keran Pakatan berhasil menggulingkan BN kelak. Daripada segi lain, beliau menyeru rakyat agar melihat kepada kekuatan gerakan massa sebagai jentera yang paling utama dalam usaha membentuk suasana politik yang baharu. Paling mustahak, tegasnya, sebarang kebimbangan atau kerisauan untuk menukar kerajan mesti dibuang. Rakyat harus diyakinkan bahawa penggiliran parti pemerintah adalah kelaziman dalam sebuah negara demokrasi. “Sistem pentadbiran awam kita sudah kukuh, dan ia tidak akan terganggu, malah diperkukuhkan lagi apabila Pakatan memerintah. Cukuplah 57 tahun rakyat beri kesempatan kepada Umno, bukan tidak ada jasanya tetapi lebih baik kita mencari sesuatu yang lebih baik, ‘kan?” katanya. Setelah mengundi nanti, maka berdoalah dan bertawakallah dan terus-menerus berusaha agar keadaan akan menjadi semakin lebih baik dibanding hari-hari sebelumnya di bawah pentadbiran zalim Umno-BN. Ahmad Lutfi sempat memaklumkan perkembangan membanggakan tentang sambutan derma orang ramai terhadap kempen dana penerbitan KAMI, yang dilancarkan Dr Haron Din baru-baru ini. “Alhamdulillah, KAMI sudah mengedarkan lebih 70,000 naskhah sisipan Bangkit secara percuma dan banyak lagi akan dibekalkan kepada pengundi, termasuk bahan penerbitan mengenai keperluan untuk melakukan perubahan,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin