Khamis, 10 Mei 2012

Jangan kerana wang tidak bina rumahtangga

Tidak dinafikan masalah kewangan antara menjadi punca mengapa kaum lelaki negara ini tidak berkahwin, bagaimanapun janganlah kerana punca itu rumahtangga tidak dapat dibina. Pengerusi Lujnah Kebajikan Muslimat PAS Pusat Dr Najihahtussalehah Ahmad berkata, sebuah perkahwinan yang berkat adalah maharnya yang rendah. "Saya rasa tidak semua faktor kewangan yang menjadi halangan untuk orang lelaki berkahwin, ini kerana lelaki juga mempunyai egonya tersendiri," katanya kepada Harakahdaily. Beliau berkata demikian sebagai mengulas fenomena lelaki tidak berkahwin kerana faktor kewangan, manakala wanita pula tidak menjumpai calon yang sesuai. Tambahnya, bukan semua wanita tidak menerima lelaki yang tidak berduit, masih ramai lagi wanita seperti ini. Tegasnya, perkahwinan adalah perkongsian dan ia adalah sunnah yang mana setiap pasangan kena redha dengan apa yang ada pada si suami atau isteri. Ini kerana katanya, suami tetap menjadi pemimpin kepada rumah tangga tidak kira siapa yang bergaji besar atau siapa yang berpendidikan tinggi. "Faktor kebahagian bukan bergantung kepada wang ringgit semata-mata. Sikap kasih sayang dan toleransi antara suami isteri itulah bunga-bunga kebahagian," katanya. Mengulas fenomena wanita yang sukakan perkahwinan yang meriah dan besar-besaran antara penyebab lelaki tidak berkahwin, beliau mempersoalkan "apakah kita hendak jadikan perkahwinan untuk masa kahwin sahaja atau akhir hayat? Malah Najihatussaleha mengakui persekitaran bersifat meterial telah mempengaruhi wanita hari ini menyebabkan kebanyakkan mereka mendesak sebuah perkahwinan besar-besaran dan gilang gemilang. "Desakan itu, menyebabkan kaum wanita tidak menemui calon yang sesuai iaitu calon yang boleh memenuhi impian mereka, dalam masa yang sama lelaki pula tidak berani melamar," katanya. Justeru, beliau mensyorkan kursus perkahwinan yang diwajibkan kepada setiap bakal pasangan sepatutnya menekankan soal ini. Kelmarin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan bilangan rakyat Malaysia berumur 25 tahun ke atas yang tidak pernah berkahwin adalah seramai 2.5 juta orang atau 16.7 peratus daripada jumlah penduduk negara. Hasil kajian yang sama juga mendapati faktor-faktor utama lelaki tidak berkahwin adalah masalah kewangan (44.7 peratus), tiada calon sesuai (19.3 peratus), kemajuan kerjaya (12.8 peratus) dan mempunyai komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus). Katanya, bagi golongan wanita, punca utama adalah tiada calon sesuai (40 peratus), masalah kewangan (14 peratus), kemajuan kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus) dan mempunyai komitmen terhadap keluarga (7.4 peratus).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blog Widget by LinkWithin