;

Isnin, 6 April 2009

Berbai`ah Menegakkan Agama Allah SWT

Berbai`ah Menegakkan Agama Allah SWT
Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada Ku ( az-Zariyat 56). Segala puji bagi Allah swt yang telah menjadikan kita sebagai hamba-hambaNya yang beriman (InsyaAllah). Selawat serta salam penuh kasih sayang kepada Nabi Muhammad saw, Rasul pilihan serta kaum keluarga dan para sahabat yang bersama-sama Baginda memertabatkan Islam sebagai Deenul Hayah. Tidak dilupakan juga kepada mereka yang mengikuti akan mereka itu di sepanjang zaman.


Bertemu kembali kepada sidang khalayak pembaca yang budiman sekelian, sebagai makhluk yang bernama manusia biarpun dari mana asal keturunan dan bangsa, kita semuanya daripada Adam as. dan kita semua adalah hamba (abdi) kepada Pencipta yang telah menjadikan semua makhluk di alam ini




Dan, ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat keturunan anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka: "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka semuanya menjawab: "Betul kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap hal ini ". (al-A`raf 172) Inilah maksud ayat al-Quran yang menjadi bukti, bahawa kita semua telah pun membuat ikrar atau perjanjian setia dengan Allah swt Pencipta ummat manusia untuk mengakui keEsaan Allah swt. Bagi saya inilah `bai`ah di alam roh` bagi setiap diri kita sebelum ini yang Allah swt sebutkan kembali supaya kita tahu dan menyedari akan kebenarannya.


Apabila seseorang insan itu diberikan keizinan hidup di atas muka bumi Allah ini, kemudian sampai seruan Islam kepadanya, sayugialah seseorang itu dengan rela hati mengakui akan hakikat keimanan dengan melafazkan kalimah syahadah…(maksudnya) Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah dan Aku sanggup pula menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah. Tindakan ini pula adalah perisytiharan yang seseorang itu lakukannya di alam nyata (fana) yang menjadi hujah atau saksi bahawa beliau telah meletakkan dirinya sendiri pada kedudukan dan tempat yang betul sebagai manusia yang beriman iaitu berbai`ah sebagai hamba kepada Allah swt di alam realiti ini. `Bai`ah Kubra` ini akan membezakan keseluruhan kehidupan kita berbanding `hamba-hamba` lain yang tidak beriman.



Seterusnya ikrar dalam sembahyang yang diulang-ulangkan sehari semalam sekurang-kurangnya dalam lima waktu yang fardhu `innasolati wanusuki….` bermaksud - Sesungguhnya sembahyangku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Rabb (Pentadbir) seluruh alam ini. Ikrar-ikrar bai`ah ini terus dipasakkan bertubi-tubi sebagai tiang-tiang asas bersama solat itu sendiri sebagai asas agama yang didiri atau dibangunkan dalam bentuk ibadat oleh mereka yang membuktikan ciri-ciri keimanan mereka. Bai`ah ini telah melatih dan mengingatkan kita akan sentiasa berkelakuan serta berjiwa hamba. Sebagai hamba atau abdi tidak pantas merasa `rimas` atau janggal untuk bersujud kepada Allah swt dalam semua urusan kehidupannya. Jika enggan atau engkar itu tandanya sifat `keegoan` Iblis laknatullah telah meresapi lalu mempengaruhi jiwa bani Adam.


Seperti yang dirakamkan dalam al-Quran, apabila Allah swt memerintahkan semua makhluk sujud kepada Adam as (hormat sebagai khalifah) semuanya patuh bersujud kecuali Iblis laknatullah kerana keegoannya sendiri. Dengan rasionalnya sendiri bahawa dia yang diciptakan dari api merasakan lebih mulia dari Adam yang dijadikan dari tanah. Dengan rasionalisme sendiri inilah telah tercabutnya hakikat rasionalismenya sebagai hamba seperti yang lain-lainnya. Sedangkan rasional para Malaikat walaupun diciptakan dari cahaya tetap patuh kerana semua para Malaikat melazimi diri mereka sebagai hamba yang sentiasa akan patuh segala suruhan Tuannya. `Keilmuan` serta `ketokohan` Iblis` memimpin semua Malaikat selama ribuan tahun sebelum itu sehingga tidak ada tempat di`langit` yang tidak pernah beliau sujud… tidak membawa apa-apa ertinya lagi bagi rasional Sang Egoan.


Apa kaitanya kisah ini dengan topik bai`ah yang kita bicarakan ini dapat dilihat dengan jelas iaitu bai`ah ialah kita berjanji untuk menuruti, melaksana atau menegakkan perintah serta suruhan Allah swt (senang/susah) atas sifat kita sebagai hamba. Demikianlah juga yang telah ditunjukkan contoh oleh Nabi saw dan para sahabat dalam peristiwa Bai`ahtul Aqabah 1 dan 2. Pada musim haji Nabi Muhammad saw telah berusaha mendapatkan sokongan atau dengan kata lain penyokong setia dari penduduk Yathrib yang sanggup berkorban apa sahaja bagi menegakkan risalah Islam ini bersama-sama Nabi saw. Alhamdulillah! inilah yang berlaku dan inilah jalan-jalan perjuangan yang dicontohkan kepada kita. Seterusnya pada tahun keenam hijrah dalam peristiwa Bai`ahtur Ridwan telah memperlihatkan lagi bagaimana tindakan berbai`ah ummat Islam untuk berjuang bermati-matian membebaskan Saidina Uthman ra mendapat pujian dan pengiktirafan oleh Allah swt walaupun tindakan susulannya tidak berlaku kerana musuh telah merasa `gerun` lalu membebaskan Saidina Uthman ra.


Semua contoh-contoh tersebut yang hidup dan terasa segar oleh kita yang beriman kepada Allah swt merupakan amal atau tindakan praktikal, `penambahbaikkan` ataupun nilai tambah yang sentiasa berlaku dalam kehidupan mereka yang benar-benar beriman kepada Allah swt. Tanpa ragu-ragu dan tanpa perlu ditunggu untuk orang lain yang tidak mahu beriman mengiktiraf dan memberi keizinan, membenarkan kita menjadi hamba kepada Allah azzawajalla dalam kehidupan kita sendiri. Sebab itu saya berasa ragu dan tidak kena pada tempatnya apabila ada dikalangan kita juga yang dakwanya berbai`ah, tetapi berbai`ah untuk memasuki pilihanraya sistem demokrasi dengan menegakkan cabang-cabang dan sektor-sektor penting demokrasi itu sendiri. Mereka berjanji setia untuk taat kepada sistem demokrasi dan jangan melompat-lompat nanti terkeluar dari kerangka demokrasi yang sebenarnya (tulen).


Saya ingin bertanya kepada cerdik pandai mereka, demokrasi yang sebenarnya itu apa? Demokrasi di barat atau di timur itu benih keturunannya dari mana ? Bagi ummat Islam jawapannya mudah sahaja semua itu berbenih dari rasional Iblisisme. Apabila kita mengambil dan menganut Islam yang syumul, kita insyaAllah tidak perlu lagi meraba-raba mencari kesesuaian sistem-sistem yang lain untuk disesuaikan dengan Islam. Masalah ummat mutakhir ini mereka terlebih dahulu mengenali dan mengambil serta menganut sistem-sistem yang lain kemudian meraba-raba mencari kesesuaian ajaran Islam bagi membenarkan tindakan mereka yang songsang. Sebab itu kata-kata atau pesanan Saidina Ali ra begitu menyentuh benak pemikiran saya, `Kenali oleh kamu akan kebenaran (ajaran Islam) itu terlebih dahulu, baru kamu mengenali siapa yang membawa kebenaran`. Sistem-sistem yang lain dari Islam seperti nasionalis, sosialis, demokrasi, kapitalis komunis, libralis dan lain-lain semuanya jahiliyyah. Secara kebetulan atau peniruan (ciplak) ada beberapa sudut-sudut tertentu zahiriyyahnya nampak sama dengan sistem Islam. Hakikatnya tidak pernah sama dengan ajaran Islam yang bermula dengan kenyataan iman seorang hamba kepada Tuannya, Allah swt.


Kemuliaan dan ketinggian risalah al-Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad saw sehinggakan diriwayatkan pada waktu dunia akhir zaman nanti ketika dibangkitkan Nabi Isa al-Masih as, Baginda akan bersama-sama kepimpinan ummat Islam ketika itu menegakkan Syari`at Nabi Muhammad saw serta

memerangi segala isme-isme Dajjal, Yakjud dan Makjud. Risalah inilah yang merupakan satu sistem yang mampu menghadapi dan menelanjangi semua bentuk kedurjanaan yang bersifat manusia maupun iblis dan insyaAllah akan menjamin kehidupan manusia selamat dari `kepanasan bahang api neraka` bukan sekadar 60 jam /minit di dunia ini. Wallahu`alam. Dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``

-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tajuk Apa Hari Ini

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Blog Widget by LinkWithin