Jumaat, 6 Mac 2009

Kekebalan Speaker

Kekebalan Speaker termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Kekebalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh mencabarnya kecuali Parlimen sendiri meminda perlembagaan.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenivasan, berkata kekebalan itu dihuraikan secara jelas dalam Perkara 72(1) dan 72(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 2 dan 3 Enakmen Dewan Undangan Negeri Perak (Hak Istimewa) 1959.

"Ia selaras dasar pemisahan kuasa antara eksekutif (kerajaan), legislatif (Parlimen) dan kehakiman yang menjadi asas amalan demokrasi negara bagi memastikan tiada campur tangan tiga badan terbabit.

"Sebarang tindakan mencabuli dasar ini berbahaya kerana akan membawa penakrifan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak lagi bebas melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut atau rasa terhutang budi kepada mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi semalam.

Berikutan itu, beliau berkata, kenyataan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa, bahawa Speaker DUN Perak, Sivakumar tidak kebal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tidak ada akta, peraturan undang-undang atau undang-undang kecil yang boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan melainkan Parlimen sendiri memindanya dengan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut: 'Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah'.

Perkara 72(2): 'Tiada seorang pun boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberi olehnya apabila mengambil bahagian dalam perjalanan mana-mana Dewan Negeri atau mana-mana jawatankuasanya'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Tajuk Apa Hari Ini

Blog Widget by LinkWithin